Thursday, 1 December 2016

Bab 1 Alam Semesta

Bab 1 Alam Semesta

1.1 Maksud Alam
Apakah nama tempat yang kita diami sekarang? Saya sekarang berada di atas kerusi. Saya juga boleh katakan saya berada di dalam bilik. Mungkin juga di dalam rumah. Jawapan boleh menjadi semakin umum apabila saya memberikan lokasi yang pada hemat saya boleh menjawap soalan tadi seperti di kampung, daerah, negeri, negara, benua, bumi, sistem solar dan galaksi. Bergantung pada pengetahuan yang kita ada, jawapan lebih umum atau lokasi bersifat lebih besar seperti supergugus (supercluster) iaitu himpunan beberapa galaksi boleh juga diterima sebagai jawapan. Akhirnya alam semesta atau lebih popular sebagai universe biasanya menjadi lokasi paling umum yang dapat diklasifikasikan. Walau bagaimanapun, masih banyak perkara yang manusia tidak dapat pastikan tentang apakah universe. Contohnya, adakah apa yang manusia namakan sebagai universe itu sudah mencakupi semua alam ini? Hal ini menjurus kepada soalan sama ada universe itu bermaksud alam ataupun tidak? Adakah wujud tempat yang lebih besar menjangkaui universe yang kita nama alam? Kita boleh tetapkan alam dan alam semesta sebagai perkara yang sama dan ia merupakan segala yang wujud ataupun ada. Begitu juga halnya dengan universe yang ditakrifkan sebagai semua masa dan ruang serta kandungannya. Hal ini bererti universe tidak mempunyai sempadan ataupun saiz yang pasti disebabkan ianya ditakrifkan sebagai "semua". Disebabkan itu juga, lokasi terbesar yang manusia dapat kaji adalah universe yang dapat diperhatikan (observable universe). Saintis takut untuk memberi takrifan berupa sempadan atau had disebabkan sifatnya yang merangkumi semua. Wujud teori yang mengatakan universe adalah bersifat infiniti iaitu tidak berpenghujung. Kegagalan manusia untuk mengadakan sempadan universe terletak kepada had kemampuan manusia. Semakin tinggi ilmu pengetahuan dan teknologi yang manusia capai, semakin jauh dan jelas kita dapat menjelaskan apa itu universe. Disebabkan ilmu pengetahuan dan teknologi ini seolah-olah sentiasa berkembang, jadi pengetahuan kita tentang universe juga akan sentiasa berubah dan berkembang. Oleh itu, universe akan kekal menjadi satu dilema sehingga kita menemui cara penjelasan selain dalam perspektif sains. Kadang kala, penjelasan yang sangat mudah dan asas adalah jawapan kepada kekusutan yang hebat.

Dilema universe tidak serumit jika kita berpandukan kepada pengetahuan asas dan logik manusia. Kita katakan universe dan alam ataupun alam semesta sebagai perkara yang sama. Seperti mana yang dijelaskan di atas, pengetahuan asas manusia tentang alam adalah semua perkara yang wujud atau ada. Alam adalah semuanya. Baik yang kita sudah kita ketahui, belum ketahui ataupun tidak ketahui. Berbanding dengan saintis yang cuba mencari jawapan kepada semua persoalan, cukup bagi kita untuk takrifkan alam sebagai segalanya. Adakah penting untuk kita ketahui semua perkara yang belum kita ketahui dan tidak akan ketahui? Ya, tetapi kegagalan untuk kita ketahui hal itu tidak pula mencacatkan maksud alam.

1.2 Penciptaan dan Pengwujudan Alam 
Mengapa kita mesti ketahui apakah yang dimaksudkan dengan alam? Supaya kita dapat fokus pada skop perbincangan kita iaitu perbincangan mengenai seluruhnya. Kita hendak bercakap tentang semua yang wujud. Kita tidak boleh meninggalkan satu perkarapun ketika hendak membahaskan soal kehidupan apatah lagi ia membabitkan soalan ketuhanan dan penciptaan. Hujah tentang penciptaan atau pengwujudan alam semesta merupakan hujah mengenai segalanya. Segalanya bermaksud semua yang dapat difikirkan sebagai ada atau wujud. Begitu juga maksud alam semesta iaitu semua yang dapat difikirkan sebagai ada atau wujud. Secara pandangan kasar, tidak ada perkara lain selain alam semesta. Malah, perkara-perkara tidak fizikal atau abstrak juga merupakan sebahagian daripada alam ini. Hal ini termasuklah sifat-sifat seperti marah dan sabar ataupun entiti-entiti halus seperti syaitan dan malaikat. Bagaimana pula dengan tuhan? Adakah tuhan juga termasuk dalam alam? Hal ini menjurus kepada kepercayaan kita kepada konsep ketuhanan. Jika kita percaya bahawa alam ini dicipta oleh tuhan, maka tidak pelik untuk kita letakkan tuhan sebagai bukan alam. Jadi akhirnya alam tidak merangkumi semua. Tuhan perlu dijelaskan dalam konteks yang berlainan. Pada masa yang sama, tidak pelik juga untuk kita golongkan tuhan sebagai alam seperti mana ciptaannya. Hal ini kerana manusialah yang memberi definisi alam. Sama ada tuhan itu wujud ataupun tidak, tidak pula mencacatkan definisi alam yang kita telah beri tadi.

Pandangan kasar itu merupakan suatu falsafah dan saintifik penciptaan atau pengwujudan alam semesta. Ia merupakan satu falsafah kerana kita berfikir secara logik bahawa alam semester merujuk kepada semuanya. Ia merupakan satu saintifik kerana dapat dilihat, diukur dan dibuat andaian serta perkiraan oleh manusia. Tidak semua orang melihat perkara ghaib. Saintis juga tidak berupaya untuk menjelaskan perkara-perkara yang tidak terukur seperti perkara ghaib tadi. Hal ini tidak bermakna perkara ghaib itu tiada. Asalkan seseorang yang melihat perkara ghaib itu dan meyakini perkara ghaib itu sebahagian daripada alam ini, definisi alam tadi telah menepati kriteria ini memandangkan ia merangkumi segalanya termasuklah perasaan dan keyakinan.

Apabila ia tidak menjadi saintifik, pandangan mengenai alam dibuat secara teori sahaja iaitu lebih berkisar tentang suatu falsafah semata-mata kerana melihat penciptaan dan pengwujudan alam semester berpandukan hujah kepercayaan atau keimanan iaitu wujudnya perihal ketuhanan.  Ia tentu sekali bukan saintifik kerana kewujudan selain yang ada tidak dapat dilihat, diukur dan dibuat andaian serta perkiraan oleh manusia. Kita tidak dapat mengkaji sesuatu yang tidak ada melainkan dengan wujudnya kepercayaan dan keimanan bahawa apa yang tidak ada itu sebenarnya mempunyai sesuatu. Disebabkan apa yang tidak ada itu dikatakan ada, maka perlunya hujah kepercayaan atau keimanan ini. Di sinilah bermulanya persoalan tentang ketuhanan.

1.3 Tuhan dan Alam
Menariknya soal ketuhanan juga waras untuk diperkatakan dalam kes pertama iaitu tidak ada perkara lain selain alam semesta. Apabila kita bercakap tentang ketuhanan, kita sebenarnya bercakap tentang apa yang ada atau wujud. Disebabkan alam semesta meramkumi semua perkara yang ada. Jadi, boleh juga kita katakan soal ketuhanan termasuk dalam soal alam semesta. Bezanya, kita tidak meletakkan ketuhanan dalam kumpulan tidak ada tetapi meletakkannya dalam kumpulan yang ada.

Kedua-dua kes diatas boleh bercakap tentang ketuhanan. Soal ketuhanan ini dalam kedua-dua kes di atas langsung tidak serumit untuk mempersoalkan tentang kewujudan aspek ketuhanan ini. Perkataan “boleh” tidak semestikan bererti aspek ketuhanan “mesti” ada. Perkataan “boleh” cuba menerangkan kerelevanan mempercayai wujudnya aspek ketuhanan tetapi tidak menjawab persoalan sama ada aspek ketuhanan itu wujud. Persoalan tentang kewujudan aspek ketuhanan ini tidak boleh dijawap berpandukan pemahaman tentang alam semesta sama ada ia merangkumi semua perkara yang ada ataupun wujudnya perkara yang tidak ada. Persoalan tentang kewujudan aspek ketuhanan perlu menyentuh pelbagai perkara lain seperi wujudnya pengetahuan tentang adanya aspek ketuhanan itu. Contohnya, wujudnya manusia yang mendapat pengetahuan (wahyu atau divine revelation)  daripada tuhan dan menyampaikan pengetahuan itu kepada manusia yang lain. Pada saat ini, barulah pengetahuan tentang wujudnya aspek ketuhanan ini boleh dihujahkan. Dengan erti kata lain, kewujudan aspek ketuhanan hanya berlaku disebabkan tuhan sendiri yang menyampaikan atau memperkenalkan dirinya kepada manusia. Selain daripada kaedah ini, adalah terlalu mustahil unuk manusia mencipta konsep ketuhanan ataupun mencipta pengetahuan tentang tuhan dengan sendiriya. Mengapa pula ia mustahil?

Sekali imbas, tidak mungkin wujud perkara yang mustahil tentang manusia dalam soal pemikiran. Sama seperti definisi alam tadi, manusialah yang mencipta definisi tersebut. Hal ini memberi kuasa kepada manusia untuk menentukan sama ada tuhan wujud ataupun tidak. Soal tuhan benar-benar wujud atau tidak bukanlah perkara penting bagi manusia. Manusia yang bernyawa tidak semestinya menyoal siapakah yang memberi ia nyawa. Apa yang penting bagi manusia adalah menggunakan nyawa itu untuk melakukan apa yang ia boleh lakukan. Hal ini tidak ubah seperti binatang yang hanya mengikuti apa yang ia mahu bersesuaian dengan apa yang ia ada. Jika ia ada sayap, ia akan terbang. Jika ia ada insang, ia boleh menyelam di dalam air. Jika ia mati kerana tidak makan, ia akan makan. Hal ini dipanggil fitrah. Kelakuan manusia tidak ubah seperti binatang yang menjalankan kehidupan sebagaimana fitrahnya.

Hebatnya manusia kerana difitrahkan untuk berfikir. Oleh sebab itu, manusia mesti mencari jawapan kepada soalan-soalan yan muncul dalam kehidupan. Disebabkan hal ini, sudah tentu manusia menyoal tentang apakah itu nyawa, siapakah yang memberikan nyawa itu dan apakah tujuan ia diberikan. Dalam proses berfikir dan mencari jawapan, manusia mesti mencari tuhan. Ia tidak dapat mencipta konsep tuhan dengan sendiri. Jika ia ciptakan konsep itu, pasti akan ada lagi persoalan-persoalan yang tidak masuk akal. Contohnya, jika manusia dihidupkan oleh tuhan, pastinya wujud tujuan. Tujuan itu tidak mungkin diketahui tanpa bertanya kepada tuhan sendiri. Konsep tuhan yang dicipta manusia adalah lemah dan sebagai manusia yang berfitrah, ia hanya mahupun jawapan yang benar. Jawapan yang dicipta oleh mereka sendiri tidak mungkin memuaskan aspek fitrah ini. Oleh itu, manusia memerlukan pengetahuan tentang tuhan daripada tuhan sendiri iaitu melalui wahyu tadi.

Penerangkan di atas telah cuba mempedaya pembaca untuk menerima kewujudan tuhan. Namun, penerangan di atas adalah logik. Adakah kewujudan tuhan adalah logik semata-mata? Adakah tidak mungkin wujud atau tidak kuat sebarang hujah yang mengatakan tuhan tidak ada? Hal ini akan dirumuskan pada akhir perbincangkan selepas meneliti hujah-hujah lain. Bab ini hanya cuba memberi gambaran awal tentang kewujudan alam semesta iaitu sesuatu yang nampak atau yang telah manusia takrifan.

1.4 Ada dan Tidak Ada
Kembali kepada soal alam semesta iaitu perkara yang merangkumi semua perkara ataupun perkara yang wujud atau ada. Gambar rajah situasi di bawah cuba memberi beberapa keadaan yang mungkin sesuai untuk kita jelaskan keadaan alam ini serta peranan aspek ketuhanan yang kita boleh katakan sebagai ada apabila ia dirangkum oleh alam ataupun tidak ada jika ia tidak dirangkum alam. Gambar rajah ini menunjukkan keadaan “ada” dan “tidak ada” dan bagaimana kedudukan alam semesta dalam keadaan “ada” dan “tidak ada”. 

Situasi 1 menunjukkan keadaan “ada” yang merangkumi semua perkara. Jika konsep ketuhanan wujud, konsep ini terkandung dalam perkara “ada”. Semua ini disebut sebagai alam semesta. Situasi 2 pula menunjukkan konsep ketuhanan yang dianggap sebagai “tidak ada”. “Tidak ada” bukan merujuk kepada ketiadaan konsep ketuhanan tetapi merujuk kepada ketidakupayaan manusia untuk berfikir tentang keadaan ini tanpa menggunakan hujah-hujah kepercayaan dan keimanan. Keadaan “tidak ada” ini masih dianggap terangkum dalam alam semester kerana alam semester itu ditakrifkan sebagai semua yang ada. Jika kita menganggap konsep ketuhanan itu ada, maka ia kita letakkan dalam alam semesta. Situasi 3-5 membezakan atau memberi perspektif alam semesta yang berlainan iaitu alam semester itu adalah keadaan "ada" manakala wujudnya keadaan di luar alam semester yang dikatakan sebagai "tidak ada". Keadaan “tidak ada” ini hanya boleh dijelaskan oleh hujah kepercayaan dan keimanan yang bermaksud kewujudan keadaan “tidak ada” hanya relevan kepada sebahagian manusia iaitu yang mempercayai atau mempunyai keimanan tentang kewujudannya. Dalam situasi 3, keadaan “ada” langsung berada dalam keadaan “tidak ada” iaitu aspek ketuhanan yang esa sehinggakan perkara yang dikatakan “tidak ada” itu melampaui perkara yang “ada”. Hal ini menunjukkan sebahagian perkara tidak mungkin difahami oleh manusia jika hanya berpandukan kepada falsafah dan saintifik. Manusia hanya dapat berfikir sedikit perkara ketuhanan (tidak ada) yang bertindih dengan perkara “ada”. Situasi 4 pula menunjukkan kewujudan perkara “tidak ada” tidak akan memberi kesan kepada perjalanan perkara yang “ada”. Hal ini berlawanan dengan situasi 3 yang menunjukkan perjalanan perkara “ada” bersangkutan dengan perkara yang “tidak ada”. Situasi 4 membezakan terus apa yang “ada’ dan apa yang “tidak ada”. Perkara “tidak ada” diyakini wujud terasing daripada kehidupan atau pengetahun manusia. Sama ada manusia memerlukan perkara “tidak ada” ini merupakan suatu perkara lain.





(*alam semesta dieja salah)

Sebenarnya, masih boleh wujud puluhan lagi situasi yang menghubungkan tentang perkara “ada” dan perkara “tidak ada” ketika hendak bercakap tentang alam semesta dan konsep ketuhanan. Situasi 1-4 cuba member gambaran kasar mengenai hubungan ini. Kesemua situasi-situasi ini juga boleh disangkal dengan keadaan dimana keadaan “ada” itu sebenarnya merupakan keadaan “tidak ada” seperti yang ditunjukkan dalam situasi 5. Berbeza dengan situasi 1 dimana semua alam semesta ditakrifkan sebagai “ada”, situasi 5 mengambil pendirian alam semesta ini merupakan gabungan “ada” dan “tidak ada”. Tiada pemisahan tentang konsep ketuhanan dengan alam semesta. Ianya berlaku secara serentak. Lebih mudah untuk kita katakan situasi 5 menunjukkan keadaan “ada”. Walau bagaimanapun, keadaan “tidak ada” ini penting bagi menunjukkan kejadian alam semesta yang ditakrifkan manusia sebagai semua ada juga mempunyai kaitan dengan keadaan yang tidak dapat dijelaskan secara falsafah ataupun saintifik.

1.5 Kesimpulan
Kesimpulannya, dalam usaha kita mencari jawapan persoalan tentang penciptaan dan pengwujudan alam semesta, kita boleh mulakan dengan membuat takrifan tentang alam semesta. Takrifan paling asas adalah dengan membincangkan tentang keadaan “ada” dan keadaan “tidak ada”. Sebagai contoh, alam semesta merupakan perkara atau benda yang ada. Tidak ada lagi pengertian paling tepat selain pengertian ini. Pengertian saintifik mungkin merujuk kepada keadaan isian langit meliputi cakrawala, angkasa dan sebagainya iaitu kandungan yang terangkum dalam semua masa dan ruang. Jelas sekali ia masih bercakap perihal kewujudan atau ke”ada”an perkara-perkara atau benda-benda tersebut. Setelah memahami maksud alam semesta  sebagai semua perkara yang ada, barulah kita terserempak dengan isi ketuhanan kerana kita dalam dilema untuk meletakkan konsep ketuhanan ini dalam keadaan “ada” atau sebaliknya. Hal ini disebabkan ketuhanan bukanlah perkara atau benda tetapi merupakan soal kepercayaan atau keyakinan. Hal ini akan dikupas dengan lebih mendalam dalam topik akan datang.